JANGAN ABAIKAN KEBAHAGIAAN AKHIRAT

Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertakwa). - (Al-Insan : 27) 

Dalam kesibukan mengejar kehidupan bahagia di dunia, mukmin tidak boleh membelakangkan kepentingan kehidupan di akhirat. Kebahagiaan di dunia ini tidak kekal kecuali mereka beriman dan beramal kerana Allah s.w.t. Agama Islam menuntut umatnya supaya sentiasa melakukan perubahan dan meningkatkan kemajuan dari semasa ke semasa. Tuntutan perubahan dan kemajuan daripada satu tahap ke satu tahap hendaklah yang lebih baik daripada sedia ada, sama ada dari segi jasmani (fizikal) mahu pun rohani (spiritual). Islam tidak membenarkan umatnya mengabaikan salah satu keperluan-keperluan kehidupan ini dengan memberi tumpuan kepada hanya satu aspek sahaja.Oleh itu dalam menyediakan keperluan untuk akhirat juga, Allah s.w.t. sentiasa mengingatkan supaya umatnya tidak lupa kepada keperluan di dunia dengan membina kehidupan yang baik dan tidak mengabaikannya.

Ini disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud : 
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) di dunia.

Kesimpulan:
Ketahuilah bahawa kesenangan dunia hanyalah sementara. Orang yang menentang Allah s.w.t. dan Rasul-Nya termasuk di dalam kalangan orang yang rugi.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)